Saya telah menerangkan bahwa marhalah dakwah ini ada tiga: Pertama, Pengenalan; kedua: Pembentukan; ketiga, Pelaksanaan. Ketiga marhalah ini mempunyai tanda-tanda dan petunjuk-petunjuk yang penuh dengan sinar pengalaman supaya kita dapat mengambil pengajaran dan memperoleh faedah dari pengalaman dan pengetahuan, supaya para duat, para pendukung dakwah berjalan di atas dakwah dengan pandangan yang terang, jauh dari kekhilafan dan penyelewengan.
3.1 Ta’rif atau Pengenalan Dakwah
Sesungguhnya marhalah at-ta’rif atau peringkat pengenalan ini merupakan langkah awal atau titik tolak pertama di jalan dakwah. Kesahihan, kebenaran dan kesejahteraan peringkat ini mempengaruhi peringkat yang kedua dan ketiga di dalam kesahihan dan keselamatannya. Kita akan menyentuh sebagian dari perkara yang berhubung dengan dakwah dan beberapa perkara yang berkaitan dengan pendokong dakwah mengenai uslub dan caranya.
3.2 Dakwah dan Kemurniannya
Saya telah menyatakan bagaimana pentingnya kemurniannya dakwah dari sebarang campuran dan saduran dalam kita menyampaikannya kepada manusia. Musuh-musuh Islam di sepanjang sejarahnya telah berusaha terus-menerus menyeludupkan berbagai ajaran dan fikrah sesat ke dalam Islam dengan tujuan menyesat dan memesongkannya dari mutiaranya serta mencabut jiwa dan semangatnya. Oleh kerana itu untuk memahami Islam dengan kefahaman yang murni, kita hendaklah kembali kepada Al-Quran yang senantiasa dipelihara oleh Allah, kembali semula kepada Sunnah Rasulullah yang telah dikumpul dan disaring oleh imam-imam yang mulia.
Imam-imam itu telah mendapat taufik dan kemudahan dari Allah untuk berkhidmat sungguh-sungguh di dalam bidang ini hingga mereka berjaya menjernihkan Sunnah Rasulullah s.a.w. dari segala penyeludupan dan segala yang asing daripadanya. Kita mestilah kembali semula mengikut kefahaman yang benar dan sejahtera seperti kefahaman salafussoleh di zaman Rasulullah s.a.w. dan khulafa’ ar-rasyidin r.a.
Kita telah mengakui bahwa Imam Hassan Al-Banna telah memberi perhatian yang berat dan utama tatkala beliau menetapkan kefahaman itu sebagai rukun pertama dari Rukun Bai’ah dan meletakkan usul dua puluh (Usul Isyrin) untuk fikrah ini sebagai garis umum yang lengkap seperti yang tertulis di dalam risalah Al-Ta’lim.
Kita telah menerangkan bahwa Ikhwanul Muslimin dan mursyidul am mereka, Imam Hassan Al-Hudhaibi rahimahullah telah memelihara fikrah yang sejahtera dan sihat ini terhadap Islam dan memelihara dasarnya dari sebarang perubahan, penyelewengan dan pertukaran walau bagaimana hebat sekalipun tekanan dari pihak pelampau yang cuai terutama yang berkaitan dengan perkara kafir-mengkafir.
Beliau telah berdiri tegak dan teguh dengan segala ketangkasan dan penuh kepastian berhadapan dengan arus yang melanda itu. Beliau menerangkan kesalahan syar’i yang ada pada kedua pihak itu dan menyatakan bahaa kita semua adalah pendukung dakwah, bukan golongan qadhi (penghukum).
Apabila realiti kehidupan muslim pada hari ini jauh terpesong dari ajaran Islam, jauh dari perundangan dan syariatnya, maka hendaklah para pekerja di bidang dakwah Islam melipat gandakan usaha dan kesungguhan mereka untuk menarik kembali tangan mereka, membangunkan mereka dan menolong mereka dalam memahami Islam, bukan hanya mengkafirkan mereka. Kerana ini akan hanya membina berbagai tabir dan dinding di antara kita dengan mereka.
Jika berlaku demikian, kita sendirilah sebenarnya yang memecah dan merusakkan dakwah yang kita sendiri usahakan dengan tangan kita lantas dengan itu tidak secara langsung kita menutup diri kita dan berjalan di atas jalan mati. Akhirnya kita akan berubah menjadi kumpulan yang terasing di dalam sejarah. Beliau telah menerangkan bahawa fikrah seperti itu bukan fikrah jamaah Al-Ikhwan yang kita berbai’ah padanya dan tiada siapa yang berhak mangaku bahwa ia adalah fikrah jamaah karena satu jamaah tidak mungkin menganut dua fikrah yang saling bertentangan.
3.3 Syumul Ad-Dakwah an Sempurna Menyempurnakan
Apabila menyampaikan dakwah dan peringatan, kita wajiblah mengemukakan kesyumulannya dengan selengkapnya, dengan seutuhnya dan dengan segala kesempurnaannya yang sempurna dan menyempurnakan tanpa memisahkan sebahagian dari keseluruhannya atau memansuhkan sebahagian daripadanya kerana sesungguhnya Islam itu adalah penutup segala agama.
Satu agama yang istimewa, syumul, lengkap, sempurna menyempurnakan yang meliputi setiap kegiatan dan lapangan kehidupan manusia duniawi dan ukhrawi di dalam keselarasan dan keharmonian yang ajaib dan unik. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana ia adalah ciptaan Al-Khaliq (Pencipta) Yang Maha Mengetahui (Al-Khabir) serta Maha Pengasih dan Penyayang kepada makhluk dan hamba-hambaNya.
Islamlah yang merealisasikan kesejahteraan dan ketenteraman di dalam jiwa manusia selagi mereka beriman kepada Allah dan mengesakanNya. Islam memberikan kepada mereka keselamatan dan keamanan serta kehidupan yang baik di dunia dengan syarat mereka mematuhi segala ajaran dan syariatNya, memberikan kebahagiaan dan keselamatan di negeri Islam serta syurga di sisi Tuhan mereka.
Kehidupan manusia melambangkan satu kesatuan yang sempurna lagi menyempurnakan di antara sebahagian dengan sebahagian yang lain dan Islam pula datang sebagai satu kesatuan yang sempurna, yang saling sempurna menyempurnakan di antara satu bahagian dengan seluruh bahagian yang lain.
Kehidupan tidak mungkin mendatangkan kebaikan apabila Islam menguasai sebahagian dari hidup manusia dan membiarkan sebahagian yang lain untuk dikuasai oleh ideologi-ideologi ciptaan manusia atau falsafah-falsafah yang direka oleh manusia. Justru, Islam mestilah dikemukakan dengan selengkap dan seutuhnya tanpa dipecah-pecahkan menjadi beberapa juzuk di sana dan di sini dan mesti dilaksanakan sepenuhnya tanpa pemecahan di mana yang dilaksanakan hanya sebahagian dan sebahagiannya lagi di tinggalkan.
Oleh itu kita dapati Imam As-Syahid Hassan Al-Banna memberi pengertian itu dalam dasar pertama dari "Rukun Fiqh" lalu beliau berkata:
"Islam itu satu nizam, satu sistem hidup yang lengkap, syumul dan merangkumi setiap realiti kehidupan. Jadi Islam itu adalah daulah dan tanah air atau pemerintahan dan ummah. la adalah akhlak dan kekuatan serta rahmah dan keadilan, ia adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Ia adalah harta benda atau usaha dan kebudayaan. Ia adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sebagaimana ia sebagai akidah dan ibadah."
Salah satu kewajipan kita adalah mengingatkan bagaimana besarnya dosa yang dibuat terhadap Islam oleh satu puak yang tampil ke hadapan kononnya hendak bekerja di bidang dakwah Islam. Tetapi sayangnya mereka hanya mengemukakan hanya sebahagian dari Islam dan melupakan sebahagian yang lain dengan sengaja ataupun tidak, sama ada kerana jahil dengan tabiat Islam atau kerana mengelakkan tentangan dari pihak jahiliah yang berkuasa atau dengan niat jahat.
Ini semua dilakukan oleh jamaah yang menjadi boneka musuh-musuh Islam. Kita mestilah menyatakan dan menerangkan kesalahan dan juga bahayanya cara tersebut supaya para pemuda kita yang punya keghairahan dan semangat keagamaan tidak akan terdorong untuk mengikut jalan sepert itu. Ini hanya akan memudaratkan mereka-mereka yang mahu membawa manfaat (dakwah).
3.4 Para Da’i dan Uslub (cara)
Untuk merealisasikan cita-cita dalam memperkenalkan dasar dan memperkembangkan dakwah, para dai’, sahibud-dakwah mestilah mempunyai sifat-sifat asasi dan mereka mesti beriltizam dengan satu uslub yang sahih dan benar di dalam urusan dakwah mereka.
Satu dari sifat yang utama dan paling penting kepada pendokong dakwah ialah dia mesti menjadi contoh dan teladan yang baik bagi Islam yang diserukannya. Dia mesti menunaikan segala rukun Islam, mengikuti sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w., menjauhi segala perkara yang syubhah dan meragukan, menjauhi segala perkara yang haram, sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang kecil atau besar. Di dalam rumahtangga, ahlinya mestilah beriltizam dengan segala ajaran Islam dan menjaga adab-adabnya.
Sesungguhnya keikhlasan pendokong dakwah dan kebulatan hatinya kerana Allah dan bagi dakwah Allah merupakan satu faktor yang sangat penting supaya dakwahnya berjaya menembusi dan menawan hati orang-orang yang diseru lantas mereka dengan senang hati menyambut baik seruan itu. Mereka akan terpesona dengan seruannya jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tidak dicampur-adukkan dengan tujuan lain atau disadur dengan kepentingan duniawi.
Dia berbicara untuk dakwah, berjalan kerana dakwah, hidupnya adalah untuk dakwah, kerana dakwah dan bersama dengan dakwah. Muslim yang mendokong dakwah, pertama-tamanya dia mestilah mempunyai pembacaan yang luas, mengikut perkembangan setiap peristiwa dan pergolakan, mengikut segala perkembangan suasana dan situasi serta mengetahui pelbagai ideologi dan aliran pemikiran semasa.
Kelak mereka mampu mengemukakan dakwah Islam itu dengan uslub yang baik, dengan cara yang menarik dan menawan hati. Pandai menawan hati manusia dan tidak menyebabkan orang semakin liar. Lantas dia dapat mengemukakan Islam dengan cara yang sebaik-baiknya di tengah ombak dan gelombang kesesatan yang menyesatkan dari setiap penjuru dunia. Dia mesti menerangkan Islam
dengan jelas dan mudah difahami tanpa menimbulkan kekusutan.
Dia membaiki suasana dan bukan memburukkannya kerana berapa ramai orang yang mengaku sebagai pendakwah yang telah merosakkan Islam dengan keburukan cara berdakwah dan mendatangkan keburukan cara berdakwah dalam Islam dan mendatangkan keburukan kepada Islam dan menyangka bahawa mereka telah melakukan kebaikan.
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan yang baik". (AnNahl:125)
Ad-da’i ilallah, yang menyeru manusia kepada Islam mesti berusaha memahami taraf dan kedudukan orang yang diseru ke jalan Allah dan berbicara dengan mereka menurut tahap akal dan fikiran mereka kerana ia memudahkan mereka menyahut apa yang diserukan kepada mereka dan mereka tidak jemu mendengar ucapan pendokong dakwah.
Ad-dai’ ilallah, sahibud-dakwah, mesti mengetahui maksud dan tujuannya. Dia mesti mengetahui apakah yang dikehendaki di dalam setiap langkah yang dilaksanakannya, apa yang dikehendaki apabila dia bertutur dan menulis, apabila dia berehat dan berbicara dan apabila berdamai dan bersengketa.
Apa yang penting dia mesti memulakan dakwahnya dengan menekankan masalah akidah dan iman sebelum dia menyentuh perkara furu'(cabang) atau kewajipan-kewajipan dan bebanan yang wajib dipikul.
Akidah itu dimulai dengan beriman kepada Allah sehingga sampai kepada menetapkan bahawa Islam itu adalah satu-satunya cara hidup, satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Bahawasanya berusaha memulakan hidup secara Islam, menghidupkan semula kehidupan Islam dan membangunkan pemerintahan Islam adalah wajib bagi tiap-tiap manusia.
Setiap muslim wajib merealisasikannya sehingga semuanya itu menjadi satu kenyataan di muka bumi. Jelaslah akidah Islam merupakan asas pembentukan peribadi muslim dan inilah yang mendorong penganutnya bangkit dan mendokong segala tuntutan dakwah yang khas dan umum dengan segala kekuatan dan penuh keazaman, redha dan puas hati.
Ad-da’i ila Islam, pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada agama Allah, mestilah melaksanakan tugas berdakwah, menyeru manusia ke jalan Allah, kepada Allah tanpa dipengaruhi oleh hasil dan natijah walaupun dia telah memperolehi kejayaan besar di dalam dakwahnya. Dia tidak akan mudah terpedaya apabila Allah memberi kejayaan kepadanya dan lancar lidahnya dengan dakwah lebih-lebih lagi manusia telah datang berkerumun kepadanya kerana mengikuti dakwahnya.
Sebaliknya pula dia tidak harus berputus asa dan putus harapan apabila manusia tidak menyahut dan meminati dakwahnya kecuali hanya sebilangan sahaja. Dia tidak akan merasa sedih apabila terdedah kepada gangguan dan penyiksaan dari seteru-seteru Allah. Demikianlah keadaan Rasulullah, demikian juga sikap Rasulullah s.a.w. dan para pendokong dakwah di masa yang lalu.
Adalah Rasulullah s.a.w menyeru sekelian manusia tanpa membeza-bezakan antara satu pihak dengan pihak yang lain dalam minat dan kesungguhan baginda demi membawa hidayah kepada mereka kerana kasihan kepada mereka dari ditimpa azab neraka. Baginda sentiasa bersabar di atas gangguan dan penyiksaan mereka ke atas baginda malah bersabda pula: "Wahai Tuhanku berilah hidayah kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui".
Kepada para pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, kita mengingatkan kepada mereka betapa besarnya tugas dan amanah yang mereka dokong dan sesungguhnya mereka dengan keislaman mereka merupakan guru untuk mengajar manusia, untuk mangarahkan manusia dan memimpin mereka kepada agama Allah.
Walaupun para pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, memahami Islam dengan kefahaman yang murni, lengkap dan sempurna, beriltizam dengan fikrah ini yang tetap bertahan memikul tugas dan usaha ini merupakan bilangan yang sedikit, tetapi di atas bahu merekalah terletaknya bebanan yang berat ini.
Lantaran itu mereka hendaklah mengetahui kedudukan mereka, memandang hina diri mereka dan hendaklah mereka memohon pertolongan dari Allah. Hendaklah mereka bersabar walau bagaimana dahsyat sekalipun gangguan, siksaan, tentangan dan penolakan. Di dalam masalah ini Imam As-Syahid Hassan Al-Banna,, telah memberi arahan kepada Ikhwanul Muslimin dengan berkata: ‘Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparnya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya".
Ya akhi: "Sesungguhnya anda hanya beramal dan berusaha untuk dua tujuan, supaya anda berhasil dan menunaikan kewajipan, maka jika yang pertama terlepas dari diri anda maka yang lain tidak akan luput dari anda".
Itulah sebahagian penerangan yang berkisar tentang marhalah at-taarif (peringkat pengenalan) yang kita kehendaki menjadi penerangan di atas jalan dakwah. Para pendokong dakwah boleh merujuk artikel-artikel Imam As-Syahid dan tulisan-tulisan beberapa penulis muslim untuk mengambil bekalan pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas berhubung dengan dakwah dan para da’i (pendokong dakwah).
(Dari Buku Thariqud Dakwah (Jalan Dakwah) oleh Syaikh Mustafa Masyhur- Mursyid ‘Aam Ikhwanul Muslimin)