Perkawinan merupakan suatu tuntutan agama dalam menjaga fitrah makhluk ciptaan-Nya. Perkawinan merupakan satu jalan mencapai keredhaan Allah dalam menuju syurga-Nya. Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk kawin seperti firman-Nya:
“Dan kawinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)
Kekayaan yang dianugerahi Allah ini bukan semata-mata dalam konteks rupiah dan harta, tetapi kekayaan diri yang merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah yang seterusnya mendekatkan kita dengan syurga-Nya. Tanyalah pasangan yang telah menikah, pasti mereka berasa nikmat Allah itu meliputi mereka kerana isteri itu tidak lain tidak bukan adalah anugerah Allah.
Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah abadikan dalam Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)
Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari sebuah film :
“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak itu dan sering membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri itu sebagai anugerah bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila dia merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasakan apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan kepemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada akan kehilangannya.
Di balik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan syurga. Hadith Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita bahwa terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang telah menikah, sehingga disebut Rasulullah bagi yang menikah telah sempurna separuh dari agama, maka sebahagianlah disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar ganjaran Allah di balik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita didunia, malah menambah saham akhirat dengan lipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang telah menikah, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah pemimpin dan dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat Allah yang terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga itu bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan Allah.
Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah pemimpin yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah dimana syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan dan tunaikan.
Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan kepada diri, andai nanti disaat terlena dan terlupa untuk bertanya dan bermuhasabah dimana syurgaku.
Sumber: http://www.ataphijau.com/